Friday 15 June 2007

Lelaki Islam mesti belajar kawal hawa nafsu

Oleh: SAODAH ABD. RAHMAN
PERISTIWA wanita membunuh anak kerana terlalu kecewa dengan sikap suami yang tidak bertanggungjawab serta mengguris hatinya perlu dijadikan satu renungan kepada keseluruhan umat Islam dalam negara ini. Umat Islam kurang prihatin dalam soal berkaitan tanggungjawab rumah tangga dan erti perkahwinan dalam Islam.
Ramai umat Islam beranggapan bahawa perkahwinan merupakan satu cara untuk memenuhi kehendak hawa nafsu sahaja. Mereka tidak memahami bahawa ikatan perkahwinan itu merupakan satu tanggung jawab paling berat di sisi Allah.
Sikap dan corak pemikiran yang terlalu cetek mengenai erti dan konsep perkahwinan menyebabkan ramai lelaki Islam tidak menghormati wanita.
Apabila perkahwinan dilihat dari perspektif untuk memenuhi hawa nafsu sahaja maka wanita yang dijadikan sebagai isteri hanya dianggap sebagai alat untuk memuaskan hawa nafsu.
Pemikiran begini bukan sahaja boleh menyebabkan wanita Islam berada dalam suasana gelisah dan resah malah ia juga boleh mendorong muda-mudi Islam menganuti konsep kehidupan sekular Barat yang beranggapan bahawa perkahwinan itu hanya merupakan sekeping kertas yang mengesahkan hubungan seks di antara lelaki dan wanita.
Tekanan jiwa dan perasaan wanita akibat sikap suami yang tidak bertanggungjawab semakin hari kian ketara. Kecuaian suami terhadap rumah tangga boleh menyebabkan isteri menderita.
Kematangan pemikiran dalam memahami erti hidup dan tanggungjawab tidak tersemat dalam jiwa ramai lelaki Islam masa kini. Kekuatan untuk mengawal hawa nafsu kian tipis akibat daripada kurang melatih diri supaya menjadi orang yang menggunakan akal apabila ingin melakukan sesuatu.
Jika lelaki Islam tidak dididik mengawal hawa nafsu dengan menggunakan akal secara rasional mereka tidak akan merasai kepuasan hidup walaupun memiliki beribu orang isteri. Al-Quran mengajar lelaki Islam supaya mengutamakan tanggungjawab rumah tangga, isteri dan anak-anak daripada mengikuti bisikan hawa nafsu.
Sejauh manakah lelaki Islam memahami konsep hidup berumah tangga dan erti kasih sayang terhadap isteri merupakan satu persoalan yang sering bermain dalam minda wanita.
Kegelisahan dan keresahan perasaan isteri tidak pernah difikirkan oleh para suami kerana sikap keegoan sebagai seorang lelaki dijadikan sebagai lambang kekuatan. Hakikatnya, keegoan ini merupakan satu simbol kepada kelemahan dan kehinaan.
Perkara berhubung kait dengan perkahwinan, perasaan suami isteri dan tanggungjawab mereka terkandung di dalam al-Quran. Cara umat Islam menghuraikan kehidupan berumah tangga dan keselamatan wanita adalah berdasarkan kepada pengamatan diri sendiri dan latar belakang keluarga dan melihat realiti kehidupan masa kini bagi menyelesaikan permasalahan keselamatan wanita dan rumah tangga.
Kaedah penyelesaian masalah rumah tangga dan keselamatan wanita tidak perlu mengikut cara yang dilaksanakan oleh masyarakat kuno kerana konteks kehidupan wanita masa kini adalah terlalu jauh perbezaannya.
Sikap terlalu gemar menggalakkan lelaki berpoligami adalah punca utama yang boleh menyebabkan lelaki kurang menggunakan akal yang waras apabila dipengaruhi oleh hawa nafsu.
Hasilnya, lelaki yang masih muda dan tidak mempunyai kewangan yang mencukupi begitu mudah mengamalkan poligami. Kesan daripada sikap tidak bertanggungjawab dan tidak matang dalam mengendalikan hawa nafsu menyebabkan isteri menjadi tidak waras sehingga sanggup membunuh anak.
Perkahwinan dalam Islam sering menggambarkan keindahan dan kebahagiaan pasangan dalam bentuk kasih sayang. Lantaran kejahilan lelaki Islam dalam soal tanggung jawab rumah tangga dan kurang keupayaan dalam mengendalikan hawa nafsu menyebabkan isteri dan anak-anak hidup menderita.
Seorang suami yang mempunyai pendapatan yang rendah tidak mungkin dapat menunaikan tugas sebagai seorang suami yang baik apabila mengamalkan poligami. Isteri terpaksa membanting tulang mencari nafkah untuk menyara anak-anak. Mencari nafkah hidup dan menyara anak-anak adalah tanggungjawab suami.
Poligami bukan digalakkan oleh Islam tetapi ia hanya merupakan satu keharusan kepada lelaki yang layak dan berkemampuan. Oleh itu usah terlalu gemar menyeru lelaki berpoligami.
Tugas umat Islam ialah melatih lelaki Islam supaya belajar mengawal hawa nafsu dengan menggunakan akal yang berteraskan kepada seruan Ilahi supaya isteri dan anak-anak merasai bahawa perkahwinan merupakan syurga kehidupan di dunia, bukan neraka yang ditempah untuk hidup di dunia ini.

No comments: